BIDANG PENDIDIKAN MORAL
MASALAH SOSIAL DI KALANGAN REMAJA: PUNCA DAN PENYELESAIAN
Pengenalan
Belakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai murni kemanusiaan serta agama.
Pengertian masalah sosial remaja
Secara umumnya masalah sosial merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.
Secara perundangan tidak terdapat definisi yang khusus bagi mengkategorikan remaja. Akta Pekerjaan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1996 mentakrifkan seorang kanak-kanak adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan 1952, kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih dalam alam persekolahan.
Statistik Gejala Sosial Remaja
Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak.
Data dan statistik banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalanagan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan bagi kesalahan jenayah harta benda serta kekerasan. Daripada jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17% adalah remaja dan dalam kalangan remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.
Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, Januari 1992).
Jenayah yang dilakukan oleh remaja bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes melibatkan kaum Melayu, 54 remaja Cina dan 47 adalah remaja kaum India.
Berdasarkan statistik, kes melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun 1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan 1487 kes pada tahun 1992.
Satu lagi kesalahan yang melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990, terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes).
Dari segi jenayah melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990 dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah yang ditahan, 2856 orang (12.46%) adalah remaja.
Statistik seterusnya adalah bersabit kesalahan akhlak yang amat serius dari kaca mata masyarakat Malaysia, iaitu perbuatan maksiat di kalangan remaja. Menurut Menteri Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja yang rosak ahklak masih tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada tahun 1989, 3763 kes pada tahun 1990 dan sebanyak 2658 kes sehingga bulan Oktober 1991.
Satu lagi tabiat remaja yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan Malaysia, 11 Mac 1993).
Punca Keruntuhan Akhlak
Daripada data dan statistik yang dibentangkan, terbukti keruntuhan ahklak di kalangan remaja masih pada tahap yang tinggi. Keruntuhan ahklak ini dapat dilihat dari pelbagai sudut. Antara punca yang dikenal pasti adalah seperti berikut;
1. Salah satu faktor yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja adalah penglibatan dalam jenayah. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang yang baik.
Justeru, bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.
Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakukan dan pergaulan anak remaja mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.
Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral.
Justeru, sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya menjalankan kewajipan dengan merancang aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa.
2. Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.
3. Pengaruh di sekolah juga penting dalam pembentukkan akhlak remaja. Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini didorong oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah.
Cara Mengatasi Masalah
Perbincangan mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja ini. Berikut beberapa saranan:
1. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
2. Pendekatan akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.
3. Mewujudkan sistem perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin.
4. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.
5. Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.
6. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif. PIBG jangan lah jadi umpama “KUCING TAK BERGIGI, TIKUS LOMPAT TINGGI-TINGGI”
Kesimpulan
Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.
BIDANG MATEMATIK
GUNA SEJARAH AJAR MATEMATIK
Pernah mempelajari Matematik? Tentu, dan pada sesetengah daripada kita mendapati Matematik adalah subjek yang membosan dan merunsingkan. Apatah lagi kepada para pelajar yang mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan.
Namun begitu, tanpa Matematik agak sukar pula bagi remaja kita untuk meloloskan diri ke menara gading. Akibatnya, belajar matematik membebankan tetapi perlu pula sekurang-kurangnya lulus di dalam peperiksaan untuk ke hadapan.
Umum mengetahui kepentingan Matematik kepada seseorang. Malah kepentingan Matematik yang telah berakar umbi dalam tamadun manusia. Tetapi, usaha seorang Profesor Matematik kelahiran Rio de Janeiro telah mengubah persepsi orang ramai terhadap Matematik. Beliau telah memperkenalkan satu sistem pendidikan baru di dalam menerangkan konsep-konsep dalam Matematik, iaitu dengan menggunakan pendekatan sejarah melalui hikayat yang amat menarik. Maka lahirlah salah-satu karyanya yang hebat bertajuk The Man Who Counted. Yang lebih menarik, penulisnya sendiri yang melahirkan pengarang buku tersebut yang lebih terkenal daripada namanya sendiri, yang dikenali sebagai Malba Tahan. Beliau tidak menggunakan nama sebenarnya, iaitu Julio Cesar de Mello, seorang Profesor Matematik di Rio de Janeiro Education Institute, sebaliknya nama Malba Tahan lebih menonjol.
PEMERINTAHAN
Hikayat ini berkisar pada zaman kegemilangan Islam iaitu pada zaman pemerintahan khalifah Islam. Yang menariknya, si penulis, Julio Cesar, tidak pernah melangkah kakinya ke negara-negara Arab. Namun begitu, hasil daripada tulisannya itu, umum akan mengetahui betapa dalam cintanya kepada ilmu dan peradaban Islam zaman silam.
Jalan ceritanya yang bermula dengan pengembaraan Beremiz Samir, yang telah menggunakan kepandaiannya di dalam menyelesaikan masalah dengan menggunakan matematik. Sepanjang perjalanan beliau bersama seorang sahabat, Hanak Tade Maia, telah menyelesaikan beberapa masalah yang menimpa penduduk setempat. Misalnya, masalah perebutan unta sebanyak 35 ekor yang perlu dibahagikan kepada 3 orang adik-beradik yang mengikut wasiat ayahnya, separuh daripada unta itu perlu diberikan kepada abang yang sulung, 1/3 kepada adik keduanya dan 1/9 diberikan kepada yang bongsu.
Jika diikutkan logik fikir, ia langsung tidak dapat dibahagikan secara adil. Jika separuh daripada 35 ekor ialah 17 ½, maka apatah lagi jika dibahagikan kepada 1/3 dan 1/9 yang mustahil untuk didapatkan nombor yang tunggal. Maka di sinilah kebijaksanaan penulisnya. Si hero, Beremiz telah menambah seekor lagi unta, iaitu tunggangannya, menjadikan jumlah 36 ekor.
HABUAN
Dan dari jumlah 36 ekor itu, ½ daripadanya diberikan kepada yang sulung iaitu sejumlah 18 ekor. Yang keduanya, 1/3 daripada 36 ekor, 12 ekor unta diberikan kepadanya, dan si bongsu mendapat habuannya 1/9 daripada 36, iaitu 4 ekor. Apabila ditambahkan semua jumlah itu (18 + 12 + 4) menjadikan ia sejumlah 34 ekor unta. Terlebih 2 ekor unta! Dan si Beremiz mendapat habuan seekor lagi unta tunggangannya.
Di sinilah letaknya kehebatan penulis yang menyelesaikan masalah Matematik dengan logik ‘benar’, dan bukan sekadar ‘logik Matematik’. Buku ini menarik untuk dibaca sebagai salah satu kaedah menyelesaikan masalah masyarakat, yang rata-ratanya berkisar kepada masalah wang, kepuasan hidup, keadilan dan sebagainya.
Tidak mustahil kepada seseorang ahli Matematik yang melihat situasi ini sebagai satu cabaran bagi beliau untuk cuba menyelesaikan permasalahan itu dengan ‘logik benar’ Matematik. Matematik telah lama terbukti sebagai salah-satu penyelesai masalah manusia. Komputer sendiri adalah hasil daripada keajaiban Matematik itu. Cuma, masyarakat kita kurang ‘menggemari’ Matematik, mungkin disebabkan oleh kaedah pengajaran yang kaku dan membosankan. Matematik perlu diajar dan dibaca sepertimana seseorang gemar membaca novel cinta.
Julio Cesar telah membuktikan bahawa kaedahnya adalah antara yang terbaik dan terbukti kepada tiga generasi selepasnya, bahawa Matematik juga adalah satu seni dan perlu dibaca!
BIDANG SAINS
KESAN RUMAH HIJAU
Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Kini, manusia sedang berusaha untuk membangunkan alam sekitar ini bagi menjaminkan kesejahteraan hidup. Alam sekitar dirujukkan kepada segala komponen yang hidup (biosis) seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta yang bukan hidup (abiosis) seperti tanah, bentuk muka bumi, cuaca dan faktor kimia. Alam sekitar merupakan salah satu keseimbangan yang wujud di antara manusia dan organisma dengan alam sekitar dan? keseimbangan ini adalah dinamik, iaitu sentiasa berubah.
Pada zaman globlalisasi ini, populasi manusia kian meningkat pada penghujung kurun ini telah? membawa kepada peningkatan pelbagai masalah kepada alam sekitar. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti perindustrian dan pembalakan telah mengancamkan alam sekitar. Masalah ini menjadi semakin serius dan telah diikitirafkan sebagai? masalah sedunia dan telah dibincangkan di Sidang Puncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992. Isu-isu yang dibincangkan termasuklah pencemaran.??Aktiviti-aktiviti manusia kini bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi serta mementingkan pembangunan ekonomi telah menjadi sebagai punca utama pencemaran. Pencemaran akan mengubahkan persekitaran secara berterusan sehinggalah keseimbangan alam terjejas.
Kesan rumah hijau merupakan salah satu fenomena yang menjadi suhu bumi meningkat menjadi panas. Hal ini bermaksud sinaran ultraungu yang dipancarkan oleh matahari ke bumi, sebahagiannya dipantul ke angkasa lepas manakala yang bakinya dipantul ke dalam unyuk memanaskan bumi. Haba yang sampai ke bumi akan dipantul semula oleh permukaan bumi ke angkasa lepas sebagai sinar inframerah. Tenaga haba ini tidak semestinya dapat ditembusi keluar atmosfera kerana kebanyakkan haba ini akan diserap ole gas-gas yang terperangkap di atmosfera seperti karbon dioksida, karbon monoksida, klorofluorokarbon dan metana. Haba yang terperangkap ini akan meningkatkan suhu permukaan bumi dan memastikan bahawa bumi sentiasa panas. Pertambahan gas-gas yang tercemar seperti oksida nitrogen dan sulfur dioksida juga menyumbang dalam perningkatan suhu permukaan bumi. Pertambahan karbon dioksida disebabkan oleh pembakaran bahan-bahan api fosil seperti arang batu, petrol dan gas asli.
Jikalau kesan rumah hijau ini meningkat secara berterusan dan tidak dikawal bumi graf kesan rumah hijau ini akan mendatangkan pelbagai masalah kepada manusia. Air di lautan dan sungai akan menjadi panas serta lebih mudah tersejat. Bukan itu sahaja, tanah-tanah terutamanya di hemisfera utara dan latitud tengah akan menjadi lebih kering. Arah angin pula akan berubah dan menyebabkan kejadian ribut akan kerap berlaku. Taburan hujan yang tidak seragam akan berlaku sehingga mengakibatkan kemarau dan akibat pemanasan bumi yang tidak sekata. Aras laut akan meningkat dan banjir sedunia akan berlaku disebabkan bongkah-bongkah ais di kutub Utara dan kutub Selatan cair. Kejadian-kejadian ini bukan saja mengancamkan kehipuan manusia malah kehidupan haiwan juga terancam dan aktiviti-aktiviti seperti pertanian, perikanan dan bekalan air akan terganggu. Pertambahan penduduk akan meningkatkan penggunaan tenaga dan permintaan terhadap bahan api fosil dan bekalan tenaga elektrik akan meningkat. Hal ini akan menyebabkan lebih banyak pokok akan detebang kawasan perindustrian semakin banyak akan dibukakan. Semua aktiviti ini akan mengakibatkan penambahan kuantiti gas rumah hijau di atmosfera dan seterusnya suhu bumi akan meningkat.
Penipisan lapisan ozon dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ozon merupakan sejenis gas? yang terdiri daripada tiga atom oksigen yang terletak di lapisan stratosfera bumi. Lapisan ozon merupkan? satu perisai semula jadi bumi yang akan memantulkan sinar ultraungu yang berbahaya. Ozon dibentuk apabila molekul oksigen terurai kepada atom oksigen dengan kehadiran sinar ultraungu, atom oksigen bebas ini akan bertindak balas dengan molekul oksigen dan membentuk molekul ozon dengan kehadiran gas nitrogen. Walaupun begitu, ozon boleh terurai kepada molekul oksigen oleh oksida nitrogen yang dibebaskan oleh kapal terbang supersonik atau atom klorin dari sebatian CFC (kluorofluorokarbon). Kluorofluorokarbon atau juga dikenali sebagai freon ini merupakan satu sebatian yang digunakan oleh pendingin hawa dan peti sejuk. Tindak balas antara atom klorin dengan ozon akan mengembalikan? oksida nitrogen dan atom klorin ke atmosfera setelah memusnahkan molekul ozon. Sebab itulah, lapisan ozon semakin nipis.
Pada tahun 1985, kebocoran pada lapisan ozon dikesan di kawasan Antartika, di Artik pada tahun 1987 dan sekarang di Australia pula. CFC bukan sahaja memusnahkan lapisan ozon, malah molekul CFC berupaya menyerap haba 20000 kali ganda lebih baik daripada satu molekul? karbon dioksida. Urbanisasi akan membawa kepada pertambahan penduduk akibat imigrasi penduduk luar bandar ke bandar. Apabila terdapat banyak penduduk, kegiatan-kegiatan ekonomi berkembang, banyak tanah baru? akan dibuka untuk penempatan baru. Pencemaran air, bunyi dan udara boleh nerlaku sekiranya pembinaan dijalankan secara berleluasa. Seterusnya, sekiranya penduduk meningkat, perwujudan kesesakan dan kawasan setinggan berlaku. Hal ini akan menyebabkan keseimbangan ekologi semula jadi akan terganggu apabila jalanraya dan bangunan dibina di kawasan hutan yang dibukakan.
Kesimpulannya, alam semula jadi adalah penting dalam keseimbangan ekologi. Sekiranya ekologi semula jadi terjejas, haiwan serta manusia akan mengalami kepupusan pada masa yang akan datang nanti. Alam sekitar membekalkan keperluan hidup kepada manusia dan haiwan. Ia juga merupakan asas kepada komponen-komponen hidup di seluruh dunia.
BIDANG GEOGRAFI
KEJADIAN BANJIR KILAT
Banjir kilat ialah banjir yang berlaku dengan serta-merta atau dengan tidak disangka-sangka. Banjir kilat adalah antara bencana alam yang kerap berlaku di negara kita dan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian.
Banjir kilat berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah akibat hujan yang berterusan. Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti selama beberapa jam akan menyebabkan banjir berlaku. Di kawasan-kawasan rendah, air hujan akan dialirkan ke sungai. Air yang memenuhi sungai akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.
Proses pembandaran menyebabkan banyak kawasan yang dipermoden. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Ada juga anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bangunan. Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan faktor penyebab berlakunya banjir kilat kerana apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung, maka lama-kelamaan air akan bertambah dan banjir kilat akan berlaku.
Hakisan sungai yang kerap berlaku juga boleh mendatangkan banjir kilat. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai tersebut tidak dapat megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.
Hutan yang berperanan menyerap air hujan juga semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan air hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Apabila sungai tidak dapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak, maka berlakulah banjir kilat.
Masalah banjir kilat yang sering melanda bandar pula adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang sempurna. Parit yang dibina terlalu kecil dan cetek serta sering tersumbat. Apabila berlaku hujan lebat parit tersebut tidak dapat menampung sejumlah air yang banyak, maka air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku.
Hujan dan banjir merupakan fenomena alam yang berlaku secara semula jadi dan membawa rahmat kepada manusia, tetapi jika kita tidak mengambil lankgah-langkah untuk memelihara kelangsungan alam serta tidak melakukan aktiviti pembangunan dengan terancang, maka masalah banjir kilat akan betrerusan.
BIDANG SEJARAH
MEMPERINGATI DETIK SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA
Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkaraperkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.
Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan.Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh SuruhanjayaReid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.
Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahmanmengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan
kemerdekaan.
Pilihanraya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato’ Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah
dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.
Pengistiharan Kemerdekaan Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan ‘Stadium Merdeka’.Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato’ Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato’ Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya. 7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato’ Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam. 9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang daripandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya.
Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket,Tunku menantikan saat untuk bertolak. Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. ‘God Save The Queen’berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcikQueen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat.
Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray. Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke. Duke kemudiannya menyerah ‘Instrumen Kemerdekaan’ yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik ‘perlindungan’ yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu. Tunku kemudiannya
membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut “Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka”.
Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki Merdeka! Merdeka! Merdeka!
BIDANG KESIHATAN
PENYAKIT DEMAM DENGGI
Kes denggi naik secara mendadak sehingga kerajaan telah mengisytiharkan empat negeri iaitu, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Selangor memiliki jumlah pengidap denggi kritikal. Dari Januari sehingga 24 September 2005, sebanyak 27,569 kes demam denggi dicatatkan di seluruh negara berbanding 21,786 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Jumlah kematian telah meningkat kepada 70 orang tahun ini berbanding 68 orang dalam tempoh yang sama sepanjang tahun lalu. Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan melancarkan Operasi Kawalan Denggi secara besar-besaran di kesemua negeri terbabit bagi membendung dan mencegah penyebaran penyakit yang boleh membawa maut.
Apa itu Denggi?
Penyakit denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang boleh membawa maut. Denggi biasa terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat dari gigitan nyamuk Aedes. Penyakit ini biasanya berlarutan selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya.
Jenis-jenis penyakit denggi
- Demam denggi klasikal
Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau 'breakbone fever'
- Demam denggi berdarah
Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2 hingga 13 tahun. Pada tahap awal (selama 2 hingga 4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera
Agen Penyebab Penyakit Denggi
Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga Togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat empat jenis 'serotype' virus yang telah dikenalpasti iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh meransang pembentukan antibodi yang berbeza-beza. Namun begitu kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4 hingga 5 hari pada tahap awal penyakit.
Pembawa Agen Penyakit Denggi
Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak 2 hingga 4 mg darah iaitu 1.5 kali berat badannya. Nyamuk aedes ini boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki. Terdapat dua jenis nyamuk aedes yang membawa virus denggi iaitu :
- Aedes Aegypti
Ciri-ciri : Tanda putih-perak bentuk kecapi dikepala. Nyamuk Aedes Aegypti berterbangan di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah. Ia bertelur dan berkembang biak di dalam bekas buatan di dalam dan di luar rumah.
- Aedes Albopictus
Ciri-ciri: Garisan putih-perak disepanjang pertengahan kepala dan badan. Nyamuk Albopictus pula terdapat di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Ia biasa terdapat di luar rumah pada tumbuh-tumbuhan dan menggigit manusia di luar rumah. Kadang-kadang ia memasuki rumah untuk menggigit manusia. Disamping bekas buatan nyamuk ini juga boleh berkembang biak dalam berbagai-bagai bekas alamiah seperti lubang pada pokok, tunggul pokok, buluh, ketiak daun seperti daun pandan dan nenas dan lain-lain tempat yang boleh air bertakung.
Jarak terbang kedua-dua jenis nyamuk ini biasanya tidak melebihi 350 meter.
Cara Jangkitan
Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia memerlukan masa pengeraman selama 8 hingga 10 hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.
Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula. Ini akan menyebabkan virus yang terdapat dalam belalai nyamuk tersebut akan masuk ke dalam peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman. Cara ini dipanggil 'Penularan Mekanikal'.
Selain dari cara-cara di atas jangkitan virus denggi boleh juga berlaku melalui penularan transovari dimana ia merupakan suatu proses penularan agen penyakit daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik hingga kepada serangga dewasa generasi berikutnya.
Penularan transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran. Melalui proses penularan ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi juga sebagai perumah kepada agen penyakit.
Tanda Serangan Denggi
- Demam kuat secara mengejut dan berterusan
- Ruam pada kulit
- Sakit tulang, otot, sendi, biji mata dan kepala
- Hilang selera makan
- Muntah-muntah
- Sakit Perut
- Pendarahan pada badan, hidung dan mulut
Rawatan
Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi.
- Rawatan Demam Denggi Klasikal
Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu, mengurangkan demam(suhu badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku
- Rawatan Demam Denggi Berdarah
- Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak.
- Demam yang sangat panas meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik.
- Pesakit juga diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Masa yang paling genting ialah pada hari ke3 hingga hari ke7.
- Pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ia menggambarkan darjah kehilangan plasma.
Tempat Pembiakan
Nyamuk aedes membiak di dalam takungan air jernih di dalam dan di luar rumah.
Ia tidak boleh membiak di dalam air yang kotor.
- Di dalam rumah
Ia membiak di dalam piring alas pasu bunga.
Tadahan air seperti kolah mandi, tempayan atau baldi.
Perangkap semut - Di luar rumah
Di dalam tayar buruk.
Saluran air hujan.
Tin-tin kosong atau botol.
Bata bangunan atau kawasan pembinaan
Cawan getah
Lubang pokok
Tunggul buluh
Ketiak daun seperti -pandan dan nenas
Langkah Kawalan Denggi
- Sistem pemantauan
- Semburan asap
- Pemeriksaan premis untuk mencari dan memusnahkan jentik-jentik
- Menggalakkan penggunaan abate
- Mengedarkan risalah dan pemberitahuan mengenai langkah pengawalan pembiakan nyamuk aedes
- Meminta kerjasama pengetua dan guru besar bagi menggerakkan pelajar bersama memeriksa halaman dan dalam rumah.
BIDANG SUKAN
ISU RASUAH: AIDIL SEDIA KERJASAMA (UTUSAN ONLINE 01/06/2011)
SHAH ALAM - Pemain Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak sedia membantu pihak berkuasa jika betul dakwaan rasuah berlaku dalam pasukannya.
Aidil, 23, mengakui dia amat malu jika perkara ini berlaku dalam pasukanya, malah dakwaan bahawa skuad Piala Presiden Negeri Sembilan terlibat mengatur perlawanan sudah cukup untuk mengguris hatinya.
"Saya tidak tahu keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya tidak berani campur, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada pihak atasan tetapi jika betul ia amat memalukan saya," katanya ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Liga Komuniti MiziSports di sini, semalam.
Jelasnya, sebagai pemain yang lahir di Negeri Sembilan dia berasa amat malu jika rasuah berlaku dalam negerinya terutama sekali dalam sukan bola sepak, sedangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) banyak membantu dari pelbagai aspek menaikkan bola sepak negeri.
"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, saya bukan hendak menuduh rakan sepasukan ataupun mana-mana pemain, setakat ini biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut, jika ada yang terlibat ia perlu diselesaikan.
"Apa yang mampu saya lakukan ialah memberi kerjasama sebaik mungkin, tetapi saya rasa ia tidak wujud dalam skuad Liga Super, prestasi kami yang tidak konsisten pula berlaku tatkala gejala rasuah kembal diuar-uarkan berlaku," katanya.
Aidil juga bersedia untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada pihak yang cuba untuk melibatkannya dalam gejala tersebut, malah dia juga tidak mahu duit haram menjadi darah daging kepada anak-anaknya.
"Prestasi skuad Negeri Sembilan yang kurang konsisten adalah disebabkan masalah kecederaan pemain utama, malah kami terpaksa mengguna khidmat pemain Piala Presiden untuk memantapkan pasukan.
"Kami akan bangkit semula pada saingan Piala Malaysia nanti dengan kebanyakan pemain yang cedera sudah sembuh, termasuk Zaquan Adha Abdul Radzak," kata Aidil yang sekarang ini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan menjelang perlawanan persahabatan menentang Hong Kong Jumaat ini.
Kelmarin, SPRM telah menyatakan bahawa siasatan terhadap pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan yang didakwa mengatur keputusan perlawanan kini telah hampir siap.
Menurut sumber, SPRM telah selesai mengambil keterangan daripada semua pihak yang diperlukan termasuk di peringkat pengurusan pasukan itu.
BIDANG PENDIDIKAN
ISU PEMANSUHAN PPSMI 2012
Keputusan profesional penuh justifikasi
KEPUTUSAN yang ditunggu-tunggu penuh debaran oleh rakyat Malaysia tiba juga Rabu lepas. Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan muktamad kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Ada yang gembira, ada yang tak puas hati dan ada juga yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Paling menarik barangkali, di sebalik gambaran 'penolakan seratus peratus rakyat terhadap dasar PPSMI' sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang, ada juga beberapa bancian bebas yang dilaksanakan oleh beberapa blog popular membuktikan sebaliknya.
Hakikatnya, jika keputusan bancian anjuran blog bebas masih memihak kepada cadangan supaya PPSMI diteruskan sekali pun, keputusan tersebut masih boleh dipersoalkan.
Menurut perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan hanya 15 peratus di kawasan luar bandar.
Statistik ini jelas menunjukkan bahawa taburan pengguna Internet yang diambil sebagai 'sampel' bancian tersebut hanya tertumpu kepada kelompok rakyat di dalam bandar yang aktif berinternet, manakala pandangan dan undian keseluruhan rakyat luar bandar belum diambil kira dan pasti dipinggirkan.
Secara kesimpulannya, tidak kira sama ada undi pelbagai bancian di atas benar-benar boleh dipercayai atau tidak, keputusan akhir ke atas dasar PPSMI ternyata ada 'peminat' yang tersendiri!
Kerajaan bukanlah tidak mencuba untuk meneruskan dasar PPSMI. Bagaimanapun, hasil pelbagai kajian ilmiah bebas seawal 2004 yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi berkaitan serta data statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai keputusan pelajar dan kemampuan guru terhadap PPSMI tidak condong kepada penerusan dasar PPSMI. Ini sekali gus 'memaksa' kerajaan bertekad kepada keputusan pemansuhan.
Menyedari hasrat dan falsafah dasar PPSMI, kerajaan di peringkat awal tidak pernah putus asa untuk meneruskan dasar tersebut. Buktinya adalah melalui pelaburan ratusan juta ringgit ke atas usaha memperkasakan pengetahuan serta kebolehan guru dalam kedua-dua subjek berkenaan melalui pelbagai kursus dan latihan. Penggunaan teknik-teknik pengajaran yang terbaik juga telah diguna pakai. Namun, tiada perubahan ketara dapat dilihat.
Pelajar Melayu akan terus kecundang, keyakinan diri terbantut dan terus menganggur
Statistik Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru PPSMI tidak mampu mengajar Sains dan Matematik seratus peratus dalam bahasa Inggeris malah dicampuradukkan dengan bahasa Melayu semasa mengajar dua subjek tersebut. Senario ini tidak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil kerana kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu yang semakin keliru, memperolehi keputusan peperiksaan yang terus menjunam sehingga mengakibatkan keyakinan diri terbantut. Kurang keyakinan diri inilah punca sebenar mengapa pelajar Melayu terus menganggur.
Untuk dikatakan dasar PPSMI telah gagal rasanya tidak juga. Lebih tepat barang kali kalau dikatakan ia kurang berjaya mencapai sasaran yang diingini. Bagi saya sendiri, PPSMI bukanlah tidak baik. Hasratnya, murni.
Namun demikian, menurut statistik sahih kajian Kementerian Pelajaran jelas membuktikan guru-guru belum bersedia sepenuhnya dan sebilangan pelajar luar bandar ada kekangan. Jika PPSMI diteruskan juga, kita menghadapi kekesalan berpanjangan kerana sejumlah besar anak-anak kampung yang cerdik tetapi ada kekangan pemahaman bahasa Inggeris akan menjadi korban nanti. Sanggupkah kita?
Syukurlah hikmah di sebalik pelaksanaan dasar kontroversi ini sekurang-kurangnya telah meningkatkan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Inilah natijah dan nawaitu asal PPSMI sewaktu perencanaannya diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu.
Melalui transformasi sistem pendidikan Malaysia yang dirancang oleh Kementerian Pelajaran ketika ini, ia akan tetap dapat memurnikan hasrat Tun Dr. Mahathir itu dengan kaedah memperkasakan pembelajaran bahasa Inggeris melalui 12 langkah yang diutarakan oleh Muhyiddin. Saya amat setuju agar bahasa Inggeris sepatutnya diperkasakan dahulu sebelum subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa tersebut.
Saya berharap sangat jika silibus baru disusun supaya pelbagai jargon teknologi dan sains dapat diterapkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga dengan subjek Geografi hari ini yang hanya fokus terhadap ilmu alam Malaysia sahaja.
Saya yakin para pelajar akan lebih tertarik jika mereka dihidangkan dengan Geografi dunia sebagai salah satu silibus dalam subjek bahasa Inggeris. Dengan silibus tersebut, ia bukan sahaja seiring dengan pendekatan saluran National Geographic dan Discovery tetapi juga memupuk pemikiran generasi muda Malaysia untuk berbahasa Inggeris apabila mereka menjelajahi dunia suatu hari nanti.
Dalam perihal memartabatkan bahasa Melayu, iltizam Kementerian Pelajaran memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya telah menjawab tuduhan beberapa pihak yang mendakwa kerajaan tidak sensitif dengan nasib bahasa kebangsaan. Apatah lagi sekarang, dalam modul transformasi pendidikan ini, Muhyiddin telah mengangkat semula martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmiah untuk memacu kemajuan ketamadunan Melayu masa hadapan.
Suka saya katakan, keputusan kerajaan sudah pun win-win (menang-menang) bagi semua pihak. Objektif murni PPSMI bakal diusahakan secara terbaik sementara bahasa Melayu pula akan terus dimartabatkan.
Sekalipun usaha menjurus kepada keputusan terhadap PPSMI telah dibuat, usaha untuk memperjelaskan falsafah di belakang transformasi pelajaran perlu dibuat secara crystal clear (sejelas mungkin).
Rakyat hari ini semakin peka terhadap hal ehwal semasa dan sentiasa mahukan penjelasan konkrit. Ingatlah, pihak pembangkang pula tidak pernah lelah mencari 'peluru' untuk mengelirukan rakyat daripada fakta sebenar.
Setiap keputusan perlukan penilaian profesional, penjelasan dan justifikasi rasional. Kalau ia demi kebaikan, rakyat tentu boleh menerimanya biarpun mungkin mengambil sedikit masa.